Pemandu teksi Hanizan Mohamed Radzi yang menghantar pulang mangsa culik berusia lima tahun pada Oktober lepas, malam tadi menerima anugerah Kategori Khas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Hanizan, 42, diberikan anugerah itu kerana kejujuran dan keprihatinannya menghantar pulang kanak-kanak berkenaan yang menjadi mangsa culik di Sungai Dua, Kajang dekat sini setelah menemui mangsa bersendirian di tepi jalan.

Beliau kemudian menghantarnya pulang ke rumah kanak-kanak itu setelah mengecam gambarnya yang menjadi viral menerusi media sosial.

Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar menyampaikan anugerah itu kepada Hanizan, dan ia merupakan antara tiga anugerah baharu yang diperkenalkan.

Dua lagi ialah Anugerah Terminal Pengangkutan Awam dan aplikasi "Meter-On Ratings".

Antara pemenang lain adalah Sani Limited Berhad (kategori bas ekspress), Handal Indah Sdn Bhd (kategori bas henti-henti), Colombia Leisure (kategori bas persiaran) Rapid Rail Sdn Bhd (kategori penyedia jalan keretapi) dan KTM Berhad (kategori inovasi perkhidmatan keretapi).

Syed Hamid dalam ucapannya turut melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas komitmennya mewujudkan SPAD untuk mengendalikan transformasi pengangkutan awam di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Majlis itu diadakan bersempena simposium Pengangkutan Awam Darat yang bertajuk 'Journey into the Future: Building People Centric Mobility' yang akan diadakan Rabu.