Pemandu teksi di sekitar ibu kota merungut kerana terpaksa membelanjakan wang sendiri untuk tetapan meter tambang baru yang diumum Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor (Perpekli) Datuk Aslah Abdullah berkata, rata-rata pemandu teksi meluahkan rasa tidak gembira kerana terpaksa menanggung kos pembaikan meter itu namun mengakui harus melakukannya untuk caj baru berkenaan.

"Ia seharusnya tidak menjadi masalah besar kepada mereka walaupun ada yang merungut. Tambang harus diselaras dan semua faham dengan situasi ini.

"Bagaimanapun saya memahami rungutan sesetengah daripada mereka kerana pengumuman ini diadakan secara mengejut.

"Walaupun kebanyakannya mengalu-alukan pengumuman itu, mereka tetap berharap pihak berkenaan dapat membuat pengumuman awal supaya mudah mereka membuat persediaan terutama yang melibatkan kewangan," katanya ketika dihubungi di sini malam tadi.

Aslah mengulas rungutan sesetengah pemandi teksi yang memberitahu terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk proses tetapan meter baru.

Kata Aslah, ia berbeza-beza mengikut model. Model yang lama mungkin tidak semahal yang baharu, katanya.

Difahamkan, proses tetapan meter itu akan dilakukan syarikat teksi masing-masing sebelum melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dalam pada itu katanya, semua pemandu teksi harus berpuas hati dengan kenaikan tambang sebanyak 33 peratus walaupun ia dilihat memberi sedikit tekanan kepada penumpang.

"Sebaiknya, tambang dinaikkan 10 peratus setiap dua tahun supaya kenaikan itu dilihat beransur-ansur dan tidak membebankan penumpang.

"Meningkatkan tambang pada saat pelaksanan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti pukulan hebat kepada pengguna teksi dan yang menggunakan pengangkutan awam," ujarnya.

Aslah turut meramalkan penggunaan teksi akan mencatat sedikit penurunan sementara pengguna cuba menyesuaikan perbelanjaan mereka.

"Pasti mereka akan menggunakan alasan teksi tidak menggunakan minyak sebagai alasan untuk menaikkan kadar tambang. Teksi juga menggunakan gas asli (NGV) dan itu faktor yang akan dijadikan alasan.

"Kenaikan harga dapat menampung kos penyelenggaraan kenderaan dan memperbaiki perkhidmatan secara menyeluruh," jelasnya.

Tambahnya, harga alat ganti kini yang disifatkan mengalami kenaikan perlu diambil kira dan pemandu teksi kini tidak mempunyai alasan untuk tidak memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.

Pada Khamis, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.

Menurutnya, penetapan kadar baharu itu adalah berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.