Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail menegaskan beliau akan terus 'mengugut' Kerajaan Barisan Nasional (BN) sekiranya gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam membantu nasib pemandu teksi.

Memberi reaksi terhadap jawapan balas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengingatkan beliau agar tidak mengugut Kerajaan, Shamsubahrin menegaskan ia bukan ugutan sebaliknya realiti.

"Saya dimaklumkan yang Datuk Seri Zahid dakwa saya ugut dan minta saya jangan ugut Kerajaan.

"Ingin saya tegaskan bahawa saya akan 'ugut' lebih lagi daripada yang saya buat sebelum ini.

"Ini bukan ugut, ini adalah fakta," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.

Malah, pada sidang media pagi tadi, beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa 70 peratus daripada lebih 180,000 pemandu teksi di seluruh negara akan memberi undi mereka kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.

"Pemandu teksi di bawah syarikat saya sahaja hampir 5,000 orang. Mereka juga menyatakan kesediaan untuk tukar kerajaan jika kerajaan sekarang ini gagal mengambil langkah sewajarnya.

"Bukan semua, tapi 70 peratus telah pun menyatakan hasrat yang sama kerana nasib pemandu teksi ni nampaknya tak terbela sampai sekarang.

"Saya tak nampak pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk membela nasib pemandu teksi," ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut mendakwa pemandu teksi di negara ini dianak tiri oleh Kerajaan apabila pelbagai insentif diterima pemandu e-hailing berbanding pemandu teksi.