Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di atas jambatan Pulau Pinang sehingga mengakibatkan sebuah kenderaan SUV Mazda CX-5 terjunam ke dalam laut telah di tahan polis, awal pagi Rabu.

Pemandu berusia 21 tahun itu ditahan selepas dia hadir menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, kira-kira jam 2 pagi.

Lelaki yang bekerja sebagai pendandan rambut itu dibawa oleh keluarganya ke IPD SPT untuk menyerah diri dan kini ditahan di lokap IPD SPT untuk tujuan siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, sehingga kini pihaknya telah merakam 15 percakapan termasuk ahli keluarga, raan-rakan mangsa dan saksi tempat kejadian.

BACA: Pilu lihat mayat pemandu terperangkap dalam SUV jatuh jambatan

Nik Ros Azhan berkata kes yang pada mulanya diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kini diklasifikasikan semula dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian 2.54 pagi Ahad, SUV jenis Mazda CX-5 yang dipandu Moey Yun Peng , seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas dipercayai berlanggar dengan sebuah kereta lain jenis Toyota Vios dalam kemalangan di KM4, Jambatan Pulau Pinang.

Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Moey dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam sebelum berjaya dikeluarkan pada Selasa petang.

Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu semasa ditarik keluar dari laut pada jam 6.07 petang.