VIRAL di media sosial adalah video perkongsian seorang Pembantu Pegawai Perubatan Hospital Tampin, Puvan Barthiban yang menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang menggunakan lorong kecemasan ketika kesesakan akibat kemalangan.

Hal itu telah menyebabkan ambulans lewat sampai ke tempat kejadian, sedangkan ketika itu terdapat mangsa yang dalam keadaan parah.

Difahamkan, satu kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal dan pembonceng dengan sebuah kereta Proton Iswara berlaku di kilometer 228 Lebuhraya Utara-Selatan (NSE) pada Sabtu.

Menerusi laman Facebooknya, Barthiban menyatakan rasa kesal atas sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang menggunakan lorong kecemasan sehingga mengugat fungsi utama lorong tersebut.

Menurut Barthiban, oleh kerana pemandu menggunakan lorong kecemasan sebagai jalan alternatif ketika kesesakan, ambulans pertama cuma sampai sekitar sejam selepas kemalangan.

Manakala, ambulans kedua sampai 60 minit selepas itu.

“Salahkan pemandu Malaysia yang tidak bertanggungjawab yang menggunakan lorong kecemasan. Walaupun siren ambulans dibuka, pengguna jalan raya berpura-pura pekak dan tidak bergerak,” tulis Barthiban.

Difahamkan, pihak ambulans terpaksa melalui kesesakan untuk sampai ke lokasi kemalangan, hanya kerana lorong kecemasan turut mengalami kesesakan.

Tambah pegawai pembantu kecemasan itu, walaupun ini bukan kali pertama mereka berhadapan dengan situasi sebegitu, namun insiden pada Sabtu merupakan yang paling terburuk.

lorong kecemasan
Kredit Gambar: Facebook Puvan Barthiban

Seorang lagi pengguna Facebook, Mohammad Zulhairi Shariff yang berada di tempat kejadian turut berkongsi sikap biadap segelintir pemandu.

Zulhairi menyifatkan beberapa pemandu yang menggunakan lorong kecemasan ketika insiden itu sebagai 'pembunuh'.

“Sesiapa yang ikut lorong kecemasan lebuhraya Plus arah utara, dengan dukacita saya nak maklumkan bahawa korang adalah pembunuh.

“Ya pembunuh, tapi jangan risau sebab kemungkinan besar korang tidak akan kena tangkap dan hukum gantung. Tapi pasti ada balasan untuk korang kalau tidak di sini, mesti di sana nanti akan diadili seadil –adilnya,” tulis Zulhairi.

Menurut Zulhairi, kedua-dua penunggang dan pembonceng cedera parah di kepala, dan sementara menunggu ambulans sampai ke lokasi, orang ramai bekerjasama membantu menghentikan pendarahan dan memastikan mangsa kekal sedar. Ketika pasukan penyelamat sampai, mangsa sudah semakin lemah.

lorong kecemasan
Kredit Gambar: Mohd Zulhairi Shariff

Persoalannya ialah jika tidak kerana kesesakan di lorong kecemasan, sudah pasti bantuan akan sampai lebih awal.

Apakah pendapat anda? Adakah penyalahgunaan lorong kecemasan wajar dikenakan hukuman berat? Sertai undian di bawah.