Persatuan Melayu Perlis (Pemanis) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Mohd Zain Hamzah berkata ketegasan kerajaan menangani isu itu turut menggambarkan pendirian kerajaan dalam mempertahankan institusi Raja.

"Telah banyak kes membabitkan orang bukan Melayu selain segelintir orang Melayu sendiri menghina institusi Raja. Jika kerajaan tidak tegas menghukum pihak-pihak terbabit, saya bimbang perkembangan tidak sihat ini sukar disekat.

"Kita boleh mencontohi Thailand yang mengambil tindakan tegas terhadap penghina Raja mereka," kata Mohd Zain kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas perbuatan seorang lelaki yang menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam laman Facebook baru-baru ini.

"Kalau bangsa Melayu sendiri tidak mampu memartabatkan kesultanan Raja-Raja mereka, siapa lagi yang boleh diharapkan," kata Mohd Zain.

Beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan memikirkan sukatan pelajaran bermula peringkat sekolah rendah untuk mendidik rakyat mengenali dan memahami kepentingan institusi Raja Melayu di negara ini.

-- BERNAMA