Pemansuhan Akta Hasutan 1948 hanya boleh dipertimbangkan setelah seksyen khusus mengenai kesalahan-kesalahan yang melibatkan institusi Diraja, kaum dan agama dipindahkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ia juga perlu dimasukkan ke dalam undang-undang lain sedia ada seperti Kanun Keseksaan atau diwujudkan undang-undang baharu.

“Pada masa ini, kajian lanjut bersama Jabatan Peguam Negara dan agensi-agensi kerajaan yang lain masih sedang dijalankan bagi memastikan perkara-perkara yang berkaitan perlindungan institusi Diraja, kaum dan agama dapat dipelihara.

“Ini bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang berlaku dan keselamatan negara terus terjamin sekiranya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada sesi Dewan Rakyat pada Khamis.

Ahmad Fahmi bertanya kesediaan kerajaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, serta adakah kerajaan berniat menggubal sebarang undang-undang bagi menggantikan akta tersebut untuk memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Selain itu, kata Azis, kementeriannya telah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk melaksanakan kajian terhadap undang-undang berkaitan keselamatan termasuklah Akta Hasutan 1948.

“Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh pihak-pihak yang berkepentingan seperti Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Badan Peguam Malaysia, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

“Ia ditubuhkan untuk menilai dan memperhalusi setiap peruntukan di dalam undang-undang berkenaan berdasarkan piawaian hak asasi manusia selain mengenalpasti implikasi-implikasi keselamatan yang akan timbul jika dimansuhkan,” ujarnya.