Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata langkah pemansuhan peperiksaan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) adalah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih membantu perkembangan murid.

Beliau berkata peperiksaan itu yang bakal diganti dengan pentaksiran yang lebih objektif bermula 2019 akan dilaksanakan dengan lebih komprehensif dan tidak membebankan guru serta murid.

"Apa pun, yang kami perkenalkan ini bukan sesuatu yang baharu, ia pernah dibawa sejak 2011 tetapi pada waktu itu, ia hilang roh pelaksanaannya.

"Jadi, kali ini kita ingin perkenalkan dalam bentuk yang lebih komprehensif dengan tidak membebankan guru dan murid-murid, sebaliknya mahu menjadikan pelajaran itu sebagai satu keseronokan (fun learning)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, pada Khamis.

Pada Rabu, Maszlee menerusi akaun Twitternya memuat naik kenyataan mengenai pemansuhan peperiksaan itu.

Maszlee berkata kementeriannya mahu para guru kembali kepada tugas asal mereka iaitu mendidik anak murid dan membantu perkembangan anak-anak bersama ibu bapa dalam usaha membentuk kemenjadian murid.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata langkah itu menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak termasuk ibu bapa, guru dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).

Namun katanya, pihak berkenaan mahukan maklumat lanjut berhubung perkara itu dan kementeriannya akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

-- BERNAMA