Pemasangan dashcam langkah baik buat pemandu Malaysia

Pemasangan dashcam langkah baik buat pemandu Malaysia
Bahan rakaman yang telah dirakam oleh dashcam juga boleh dijadikan sebagai bahan bukti serta memudahkan pemandu membuat sebarang tuntutan insuran - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau, itu sahaja yang dapat kita gambarkan sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya atau sesuatu musibah.

Oleh itu, penggunaan kamera ‘dashboard’ atau ‘dashcam’ dalam kenderaan adalah satu langkah yang sangat baik buat semua pemandu di Malaysia.

Meskipun ia hanya satu alat aksesori kereta sahaja namun ia mampu menjadi satu bahan bukti sekiranya terdapat sebarang masalah atau kemalangan di jalan raya.
Pemandu kini terutamanya di Malaysia dilihat memiliki kesedaran dalam pemasangan kamera tersebut di dalam kereta dan ia dilihat sebagai satu trend yang sangat positif buat pemandu-pemandu di Malaysia.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr Siti Zaharah Ishak, berkata rakaman video tersebut boleh dijadikan bahan rujukan atau bukti jika berlaku kemalangan.

“Kalau ikutkan rakaman-rakaman video ini mampu menjadi satu bahan rujukan dan bukti jika berlaku kemalangan kepada pemandu atau kenderaan di sekeliling mereka.

"Ia juga berfungsi untuk menjadi satu bahan rujukan jika terdapat pemandu yang memandu secara cuai atau berlakunya pembulian sewaktu memandu,” katanya  ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah beliau, bahan rakaman yang telah dirakam oleh dashcam juga boleh dijadikan sebagai bahan bukti serta memudahkan  pemandu membuat sebarang tuntutan insuran.

Pada 20 Januari lepas, satu kemalangan ngeri di Km4.0 Jambatan Pulau Pinang yang mengorbankan seorang penuntut kolej swasta Moey Yun Peng, 20, selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Mazda CX-5 dipandunya dilanggar sebuah kereta lain jenis Toyota Vios, yang mana video rakaman dashcam kejadian itu tular dalam laman sosial.


Dalam masa itu, Siti Zaharah juga menasihatkan supaya pemandu yang ingin membeli dashcam supaya membeli produk yang berspesifikasi yang mampu merakam dengan resolusi yang jelas kerana jika berlaku sesuatu rakaman tersebut akan menjadi satu bahan bukti yang jelas.