Blok pembangkang hari ini mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat gesaan itu berikutan tindakan Pejabat Peguam Negara menggugurkan dua pertuduhan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran berkaitan kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Menurut beliau, Tommy dilihat telah kerap kali menyalahgunakan kuasanya dengan mencampur tangan dalam beberapa kes mahkamah, walaupun wujud peruntukan untuk Peguam Negara menarik balik sebarang kes.

“Kini setelah polis laksanakan tugas mereka demi keselamatan negara, Peguam Negara menggunakan kuasa yang ada… walaupun ada kuasa tarik balik kes, tetapi beliau menggunakan kuasa yang ada ini untuk menarik balik kes tanpa memberi sebab munasabah.

“Kita anggap ini satu tamparan hebat kepada polis yang telah menjalankan tugas secara profesional, menjalankan tangkapan sebagainya.

“Tapi akhirnya apa yang dilakukan polis langsung tidak diambil kira oleh Peguam Negara sehingga tarik balik kes terhadap individu yang dituduh dalam kes keganasan LTTE,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Mahkamah Sesyen Seremban semalam, membenarkan permohonan pasukan pendakwaan untuk membatalkan dua pertuduhan memiliki item berkaitan LTTE ke atas ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Bagaimanapun, pembatalan itu tidak membebaskan Gunasekaran daripada kes berkaitan LTTE, kerana pada 29 Oktober lalu, ADUN DAP itu turut didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas itu pada November tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mendakwa, antara bukti lain Tommy menyalahgunakan kuasa untuk campur tangan dalam kes mahkamah, adalah ketika menggugurkan pertuduhan rasuah membabitkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Jadi kita di pihak pembangkang mendesak Kerajaan terutamanya kepada Peguam Negara supaya memberi penjelasan.

“Oleh kerana terlalu banyak kes bertentangan prinsip kedaulatan undang-undang, jadi saya harap Perdana Menteri menasihatkan Agong supaya memecat Peguam Negara daripada melakukan tugas.

“Peguam Negara turut campur tangan dalam kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim sehingga mahkamah putuskan wujud kebarangkalian beliau menghina mahkamah,” katanya.

Pada 16 Julai lalu, bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya.

Pada 27 Ogos, Mahkamah Koroner membenarkan permohonan komital terhadap Peguam Negara berhubung punca kematian Muhammad Adib, selepas mendapati wujudnya prima facie atas imbangan kebarangkalian.

Bagaimanapun, Isnin lalu, Mahkamah Koroner membenarkan permohonan Peguam Negara untuk menangguhkan prosiding komital terhadapnya sehingga rayuan terhadap keputusan mahkamah itu yang membenarkan prosiding berkenaan dijalankan, dilupuskan di Mahkamah Tinggi.