Tawaran yang diberikan kerajaan kepada pemilik dan pewaris Kampong Baru adalah peluang terbaik untuk penduduk Melayu di situ membina dan memperkukuhkah kedudukan ekonomi mereka, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil segala pertimbangan, dan empat tawaran yang mereka kemukakan dilihat peluang terbaik untuk kesemua pewaris dan pemilik yang terlibat.

Menurutnya lagi, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) telah meletakkan anggaran antara RM650 hingga RM850 untuk satu kaki persegi (psf), dan kementeriannya telah menetapkan RM850/psf dengan nilai anggaran RM6 juta untuk setiap lot.

“Umumnya kena ambil kira pembelian harga pembelian mesti memungkinkan projek ini boleh berjalan. Kalau kita beli dengan harga mahal, akhirnya kena jual harga mahal, sedangkan kita kata kita nak apa yang kita bina hartanah baru ini, pejabat baru ini, semuanya kekal milik Melayu,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri sesi Townhall Menteri Wilayah Persekutuan bersama Pemilik dan Pewaris Tanah Kampong Baru di sini hari ini.

Namun, tegasnya lagi, ada kemungkinan pihaknya akan meminta JPPH menilai semula atau menaikkan sedikit kadar RM850 itu, bergantung kepada persetujuan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Jemaah Kabinet.

Khalid berkata, berdasarkan maklum balas dan perbahasan yang dilalui semasa sesi itu, rata-rata kesemuanya bersetuju dengan cadangan pembangunan itu, namun yang menjadi masalah majoriti mereka ialah kadar yang ditetapkan JPPH.

Terdahulu, sewaktu memulakan sesi itu di hadapan kira-kira 2,500 pewaris dan pemilik tanah Kampong Baru, Khalid berkata, kerajaan akan memberi empat pilihan untuk mereka pertimbangkan iaitu: -
  1. Pemilik dan pewaris boleh memilih untuk menerima wang tunai berdasarkan nilai yang dipersetujui (anggaran RM6 juta untuk 8,000 psf)
  2. Pemilik dan pewaris boleh memilih menerima rumah mampu milik (RM300,000 per unit) yang akan dibangunkan di atas tanah Kampong Baru, mengikut nilai tanah mereka yang dipersetujui.
  3. Pemilik dan pewaris boleh memilih menerima wang serta rumah mengikut nilai tanah mereka yang dipersetujui.
  4. Pemilik dan pewaris boleh memilih untuk menjadi pemegang saham ke atas pembangunan yang bakal dijalankan di Kampong Baru.

Dalam pada itu, Khalid menerangkan lanjut, melalui Pelan Induk Pembangunan Kampong Baru itu, ratio pembangunan yang dipersetujui ialah 70:30, iaitu 70 peratus untuk perumahan, dan 30 peratus lagi untuk tujuan komersial.

Daripada 70 peratus perumahan itu, 50 peratus daripadanya ditetapkan untuk pembinaan rumah mampu milik, iaitu sekitar 45,000 unit.