Kerajaan akan memfokuskan pembangunan teknologi satelit dalam usaha memberi peluang secara terus kepada rakyat untuk tujuan komunikasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia termasuk penggunaan satelit untuk pengurusan bencana dan kegunaan lain.

“Kejadian bencana alam seperti tsunami, banjir dan malapetaka melibatkan kehilangan pesawat yang menimpa Malaysia pula memberi satu dimensi baharu mengenai keperluan teknologi satelit dalam aspek pengurusan dan operasi.

“Di sinilah ramai pihak telah mula sedar mengenai perlunya sains angkasa dipelajari dan difahami kerana aplikasinya terlalu banyak,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian semasa memberi ucapan pada sambutan Majlis Sambutan Jubli Perak Planetarium Negara sempena penubuhannya yang ke-25 tahun.

Katanya, walaupun Malaysia masih baharu dalam sains dan industri angkasa, beberapa kejayaan telah berjaya direkodkan.

Ia termasuk penghantaran angkasawan dan pelancaran satelit yang menjadi penanda aras terawal tentang keupayaan negara.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut mengalu-alukan penubuhan kerjasama pintar di antara pihak korporat dan Planetarium Negara bagi memperkasakan lagi pendidikan dan penerokaan bidang sains angkasa.

Terdahulu Dr Wan Azizah turut melancarkan buku bertajuk '25 Tahun Planetarium Negara'

Sambutan itu turut menyaksikan peragaan fesyen tudung dengan rekaan unik berkonsepkan batik angkasa Planetarium Negara.