Pembantu jurutera audio menangis teresak-esak didakwa tikam isteri sarat mengandung

Pembantu jurutera audio menangis teresak-esak didakwa tikam isteri sarat mengandung
Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh, untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagian Ulu Kinta selama 30 hari. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu jurutera audio sebuah syarikat televisyen tempatan yang menikam isterinya yang sedang sarat mengandung dalam kejadian di sebuah rumah di Presint 9 Putrajaya minggu lalu, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,  di sini pada Khamis.

Zulkifli Taib, 38, berdepan pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang berusia 35 tahun itu.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 336A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda atau disebat.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Zulkifli yang kelihatan tidak keruan di dalam kandang tertuduh selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.


Hakim Mahyon Talib kemudiaannya memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan mental mengikut Seksyen 342(5) Kanun Tatacara Jenayah selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri.

Terdahulu ketika prosiding, suasana sedih menyelubungi mahkamah apabila ibu dan keluarga tertuduh dilihat menangis teresak-esak selepas tertuduh menangis di dalam kandang tertuduh.

Ketika Hakim Mahyon bertanya kepada tertuduh “Awak faham (pertuduhan) tidak”, tertuduh hanya mendiamkan diri dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Mahkamah menetapkan 13 Dis untuk sebutan semula kes dan laporan psikiatri.

Dia sebelum ini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Sabtu lalu, mangsa seorang guru yang hamil 37 minggu tekad memandu ke Hospital Putrajaya dalam keadaan berlumuran darah selepas ditikam suaminya untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa putus pembuluh darah akibat daripada luka di jari kiri, lengan tangan kanan, dua kesan luka di perut dan luka di belakang kanan badan.

Pembedahan dilakukan segera bagi menyelamatkan nyawa bayi berkenaan.

Mangsa berkata, suami mengalami tekanan mental dan menerima rawatan psikiatri.


Tag: Putrajaya, mahkamah, mangsa, Mahkamah Sesyen, tikam isteri, sarat mengandung, lelaki dituduh tikam isteri, cedera tikam



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.