Seorang pembantu sebuah rumah anak yatim didakwa di Mahkamah Majistret Selayang, pada Isnin, atas tuduhan membunuh bayi 13 bulan yang ditemukan dengan 39 kesan kecederaan pada badannya di sebuah rumah di Gombak, dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Ini berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tengku Faiz Kamarul Azhan Tengku Kamarudin, yang memakai baju-T dan seluar berwarna hitam dilihat tenang di dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa dengan niat melakukan bunuh ke atas Sofiea Faqihah Abdul Raqiib yang berusia tiga belas bulan di rumahnya di Taman Gombak Permai, Gombak, 4 Ogos lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.