Pejabat Konsul Indonesia di Pulau Pinang berjaya menyelesaikan antara kes yang paling mengejutkan iaitu seorang majikan yang tidak membayar gaji pembantu rumah selama lima tahun perkhidmatan.

Menurut Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Taufiq Rodhy, secara purata pihaknya menerima 200 laporan setahun daripada pembantu rumah republik itu yang berkhidmat di negeri berkenaan, yang menghadapi masalah bayaran gaji oleh majikan masing-masing.

Berkenaan kes seorang amah itu tidak pernah menerima bayaran selama lima tahun melibatkan tunggakan berjumlah RM48,000 itu, Taufiq berkata dengan bantuan pihak Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen, pihaknya berjaya menyelesaikan kes tunggakan tersebut.

“Daripada 200 lapora tersebut, 50 peratus sudah dapat kita selesaikan. Pernah satu kes kita selesaikan melibatkan bayaran gaji tertunggak berjumlah RM48,000. Kita telah berjumpa pihak Imigresen dan akhirnya dapat menuntut jumlah itu untuk dibayar kepada pembantu rumah ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, ujarnya, secara purata pihaknya berjaya membantu menyelesaikan separuh atau 100 kes tunggakan gaji melibatkan amah Indonesia manakala selebihnya dalam proses penyelesaian dengan bantuan jabatan-jabatan terlibat.

Dalam perkembangan berkaitan, Taufiq berkata, Indonesia berharap kerajaan Malaysia akan bersetuju dengan permohonan untuk menaikkan gaji pokok pembantu rumah negara itu dari RM900 ringgit kepada RM1,000 sebulan.

Pada Oktober lalu, kerajaan Malaysia bersetuju untuk menaikkan gaji pembantu rumah dengan menetapkan paras RM800 sebulan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot dilaporkan sebagai mengesahkan kenaikan tersebut namun enggan mendedahkan kadar kenaikan yang dipersetujui oleh kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun beliau mengakui kenaikan tersebut adalah lebih rendah berbanding dengan kadar yang dicadangkan oleh kerajaan Indonesia.

Pada bulan Mei lalu, kerajaan Indonesia menghantar memorandum kepada Malaysia meminta gaji pokok pembantu rumahnya dinaikkan daripada RM700 sebulan kepada RM1,200 sebulan.