Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan tetap akan membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di ibu pejabatnya hari ini, beliau turut memaklumkan Malaysia akan berdepan pembayaran pampasan daripada pembatalan itu.

“Saya belum lihat lagi perjanjian itu tapi saya diberitahu kita mungkin akan membayar pampasan sekitar 500 juta.

“Saya masih perlu mengesahkannya, tetapi saya percaya ia dalam Ringgit Malaysia,” jelasnya.

Ketika ditanya sama ada pihak Singapura sudah mengetahui hasrat pembatalan ini dan bila kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan mereka, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak tahu.”

Bagaimanapun, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa kerajaan akan mencuba sebaik-baiknya untuk memastikan pampasan dibayar pada jumlah yang serendah mungkin.

“Ia tidak berfaedah, ia akan memakan kos yang tinggi dan kita tidak akan dapat pulangan wang daripada operasi (projek) ini.

“Ia cuma trek yang pendek, hanya akan jimatkan masa cuma satu jam dengan menaiki HSR," ujarnya.

BACA: Kerajaan akan cari jalan bayar Singapura jika HSR batal

VIDEO: Kerajaan cari jalan kurangkan pampasan jika batal HSR