Pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 bagi Fasa 3 akan dilaksanakan mulai Jumaat ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM3 bilion.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, BSH itu akan memanfaatkan hampir 4.28 juta penerima merangkumi 3.75 juta isi rumah dan 0.53 juta bujang (40-59 tahun).

Kadar BSH yang akan diterima juga mengambil kira 3.8 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah.

Bagi isi rumah berpendapatan bawah RM2,000, mereka akan menerima RM600 manakala bujang akan menerima RM400.

Selain itu, isu rumah berpendapatan antara RM2,001 hingga RM3,000 pula akan menerima RM350 manakala isu rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 pula menerima RM100.

Bagi permohonan baharu BSH yang layak tetapi belum menerima bayaran Fasa 1 dan 2, bayaran akan dibuat secara sekali gus dalam pembayaran Fasa 3 mengikut nilai kelayakan kategori BSH 2020.

Menurut kenyataan itu, kadar tambahan sebanyak RM120 akan diberikan bagi setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat orang dan bayaran akan dibuat secara sekali gus pada pembayaran Fasa 3 ini.

"Secara ringkasnya, sebagai contoh, sekiranya Encik Ali berpendapatan di bawah RM2,000 dan mempunyai empat orang anak yang layak, beliau akan menerima RM1,580 merangkumi pembayaran sebanyak RM300 pada Fasa 1 (Januari 2020), RM200 pada Fasa 2 (Mac 2020) dan RM1,080 pada Fasa 3 (Julai 2020).

"Bayaran BSH ini adalah lebih bersasar kerana turut mengambil kira bilangan anak yang layak dalam setiap keluarga," menurut kenyataan itu.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing yang telah didaftarkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Bagi mereka yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran boleh dituntut secara tunai di Cawangan Bank Simpanan Nasional sehingga 31 Dis 2020.

Bagi memastikan program BSH 2020 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 7 Ogos 2020 hingga 6 Sept 2020.

"Dengan adanya proses rayuan ini, sebahagian daripada mereka yang telah ditolak permohonannya masih diberi ruang untuk mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDNM," menurut kenyataan itu.

Permohonan Rayuan BSH 2020 boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my atau pemohon boleh hadir di mana-mana Cawangan LHDNM/ Pusat Khidmat Hasil (PKH)/Pusat Transformasi Bandar (UTC).

-- BERNAMA