Pembaziran makanan negara makin kritikal

Pembaziran makanan negara makin kritikal
Kira-kira 3,000 tan makanan yang masih elok dan boleh dimakan berakhir di tapak pelupusan sampah setiap hari. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Setiap tahun, negara kerugian lebih RM1 bilion akibat kehilangan dan pembaziran makanan.

Kira-kira satu pertiga hasil padi hilang sebelum ia sampai kepada pengguna, manakala hampir separuh sayur-sayuran dan buah-buahan dibuang begitu sahaja.

Menurut perangkaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), negara kehilangan 28.5 peratus padi bernilai RM918 juta sebelum ia sampai kepada pengguna.

Ini termasuk kehilangan padi daripada peringkat penuaian, pengangkutan sehinggalah ke kilang.

Jumlah kehilangan padi ini sahaja boleh memberi makan kepada 5.8 juta orang.

Selain itu, dianggarkan 30 hingga 50 peratus daripada buah-buahan dan sayur-sayuran di Malaysia juga tidak sampai kepada pengguna dan dibuang atas pelbagai sebab.


Kira-kira 3,000 tan makanan yang masih elok dan boleh dimakan berakhir di tapak pelupusan sampah setiap hari.

Jumlah itu boleh menyediakan makanan kepada lebih 2.2 juta orang untuk tiga hidangan sehari.

Statistik itu sekali gus mengesahkan masalah kehilangan dan pembaziran makanan yang cukup kritikal di negara ini.

Menurut kajian The Solid Waste Management and Public Cleansing Corporation (SWCorp), pembaziran makanan tertinggi berlaku di rumah iaitu sebanyak 39.78 peratus.

Ini diikuti pasar makan dan pasar basah sebanyak 25.43 peratus dan restoran 24.19 peratus.

Sikap suka membazir

Kajian terbaharu oleh syarikat Electrolux Malaysia mengesahkan, rakyat Malaysia memang suka membazir makanan.

Dapatan daripada kaji selidik yang dijalankan pada Jun lalu menunjukkan pembaziran makanan itu dilakukan oleh kira-kira tiga perempat atau 77 peratus rakyat negara ini.

Kaji selidik itu membabitkan 500 responden berusia di antara 18 hingga 65 tahun.


Rata-rata responden kaji selidik itu mengakui membazir sekurang-kurangnya satu pinggan makanan yang masih elok setiap minggu.

Punca utama pembaziran di dalam isi rumah merangkumi jumlah tertinggi 46 peratus yang terlupa tentang makanan yang disimpan di dalam peti sejuk.

Manakala, 32 peratus menyediakan terlalu banyak makanan, 37 peratus bersikap memilih, dan 26 peratus tidak suka makan lebihan makanan.

Makanan paling banyak dibuang setiap minggu ialah nasi iaitu 62 peratus.

Sementara itu, separuh daripada bahan yang dibuang ialah sayur-sayuran, manakala 41 peratus adalah daging dan ikan yang telah dimasak.


Bekalan makanan negara mencukupi?

Dengan kadar pembaziran makanan yang berterusan, ia dibimbangi akan menjejaskan jaminan bekalan makanan negara.

Ia berikutan negara terlalu bergantung kepada import makanan untuk menampung permintaan tinggi, sekali gus mendedahkannya kepada ancaman keselamatan makanan.

Timbalan Pengarah Program Jaringan Antarabangsa Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti MARDI, Dr Ainu Husna M. S. Suhaimi berkata sekiranya rakyat Malaysia tidak membazir, bekalan makanan negara sebenarnya adalah mencukupi.

"Apabila orang kurang membazir, dia membeli hanya secukupnya. Kita dapati kebanyakan pengguna membazir 30 peratus makanan yang dibeli.

"Jadi jika pengguna rancang beli apa yang diperlukan sahaja, makanan yang kita keluarkan boleh beri makan kepada lebih ramai orang," katanya.

Pada masa sama, kerajaan juga boleh mengurangkan kadar import.

"Defisit import sayur-sayuran dan buah-buahan dan beras negara adalah di antara RM1.6 hingga RM2.3 bilion. Jika ini boleh dikurangkan dan kurangkan kehilangan dan pembaziran makanan, kita sebenarnya boleh mengurangkan import dan lebihkan eksport," katanya.

Pengeluaran beras negara ketika ini hanya 72 peratus, dengan selebihnya diimport bagi menampung permintaan tinggi.

Sebagai usaha untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan di negara ini, MARDI telah menggerakkan kempen "My Save Food" bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pembaziran dan kehilangan makanan.


Kitar semula lebihan makanan

Rancangan perbelanjaan yang bijak mampu mengurangkan pembaziran makanan. Ini kerana menurut SWCorp, dianggarkan 25 peratus bernilai RM250 bagi setiap perbelanjaan keluarga sebulan bernilai RM900 akan dibuang.

Menurut Pakar Pemakanan, Indra Balaratnam, hampir separuh makanan dibazir di rumah adalah disebabkan terlupa bahawa lebihan makanan ada disimpan di dalam peti sejuk.

"Sering kali kita memasak makanan terlalu banyak atau membeli terlalu banyak makanan. Selepas itu kita simpan dalam peti sejuk dan terlupa bahawa makanan disimpan dalam peti sejuk sehingga ia tidak dapat digunakan lagi.

"Jadi tip penting adalah menyediakan senarai barangan yang ingin dibeli dan hanya beli apa yang perlu sahaja," katanya.

Ujarnya, dengan langkah mudah mengolah semula lebihan makanan menjadi resepi menarik, ia dapat membantu mengurangkan pembaziran makanan.

"Contohnya, dengan lebihan nasi yang telah dimasak boleh digunakan untuk memasak Nasi Udang Mediterranean. Kalau selalu guna semula untuk nasi goreng mungkin agak bosan. Kalau rendang dimasak terlalu banyak mungkin boleh digunakan semula sebagai isi karipap dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, Indra menasihatkan supaya lebihan makanan diguna semula dalam tempoh tiga hari.

"Petuanya adalah apa sahaja makanan yang sudah dimasak, boleh disimpan dalam peti sejuk tidak lebih dari dua ke tiga hari. Ini kerana suhu dalam peti sejuk tidak cukup dingin untuk menjadikan bakteria itu benar-benar dorman jadi ia masih dapat membiak.

"Namun makanan yang disimpan di ruang sejuk beku boleh kekal sehingga tiga bulan," katanya.