Berikutan pengumuman pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berkuatkuasa hari ini, rata-rata pembeli di Selangor menyifatkan mereka telah bersedia menerima pelaksanaan cukai itu yang bakal menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Tinjauan Bernama di beberapa pasar raya dan pusat membeli belah di sini, pada Jumaat mendapati, kebanyakan golongan pengguna dan pembeli berbelanja seperti biasa selain dilihat tidak terburu-buru membeli barangan dalam kuantiti banyak bagi menghadapi kenaikan harga yang dijangka berlaku selepas pelaksanaan SST.

Penjawat awam, Azurun Salamon, 34 tahun, berkata pelaksanaan SST tersebut bukan suatu perkara asing kerana ia pernah dilaksanakan sebelum 2014.

"Sebelum ini SST pun telah diguna pakai sebelum GST diperkenalkan pada April 2014, jadi apabila cukai itu diperkenalkan semula, ia bukan satu perkara yang mengejutkan.

"Cuma apa yang diharapkan dengan pengenalan cukai SST 2018 ini, harga barang sedikit murah tidak sepertimana harga barang semasa pelaksanaan GST, " katanya.

Beliau turut menyifatkan pengenalan SST itu sebagai kayu pengukur ke atas perbezaan harga barangan yang sememangnya dinantikan rakyat.

"Sudah pasti rakyat tidak mahu terbeban dengan kenaikan harga barangan yang mendadak apabila SST dilaksanakan...dari sinilah campur tangan kerajaan diperlukan, sekiranya berlaku juga (kenaikan harga barang) kemungkinan kuasa beli pengguna itu akan menurun," katanya.

Bagi Harun Akmal, 41 tahun, beliau menolak untuk berbelanja dalam kuantiti besar semata-mata untuk simpanan stok barang, sebelum SST dilaksanakan.

Katanya, walaupun masih belum pasti keberkesanan SST dan kesannya kepada rakyat, beliau juga berharap pengenalan cukai itu tidak akan memberi bebanan kepada pengguna.

"Bagi saya, tidak perlu membeli barang dalam kuantiti banyak semata-mata mahu dapatkan harga murah ketika GST masih berada pada kadar kosong dan sebelum SST dikuat kuasa Sabtu.

"Hari ini saya datang ke pasar raya pun beli barang seperti mana rutin saya sebelum ini, saya sememangnya akan berbelanja dua kali dalam sebulan untuk beli barang basah dan barang makanan.

"Kalau kita nak elak dikenakan cukai ini pun tidak boleh sebab kalau bukan hari ini, hari-hari seterusnya juga pasti kita akan berbelanja," kata pekerja syarikat binaan itu.

Penuntut kolej swasta N. Khishali, 23 tahun, turut mempunyai pandangan senada dan mengharapkan agensi berkaitan bertindak tegas dalam mengawal sebarang kenaikan harga barangan.

Beliau berkata langkah itu perlu supaya peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang yang akhirnya akan memberi kesan kepada pengguna.

"Untuk tahun pertama pengenalan SST 2018, agensi berkaitan seperti KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) diharap dapat melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.

"Kita sebagai penguna dan pembeli tidak mahu jadi mangsa apabila ada peniaga yang cuba ambil kesempatan di atas pelaksanaan cukai ini," katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan SST berkuatkuasa 1 Sept, susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Perkhidmatan 2018 telah diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

-- BERNAMA