Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini berkata pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia oleh anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) mematuhi tatacara perolehan yang di tetapkan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa berkata urusan perolehan itu, turut mendapat kelulusan Majlis Ekonomi Negara (EC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kelulusan dari Perdana Menteri adalah sebahagian dari prosedurnya.

"Selepas cadangan pembelian itu diluluskan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta Kementerian Kewangan, EC telah meluluskannya," katanya di satu sidang media di Bangunan Mara di sini, hari ini.

Annuar, dalam sidang media yang sama berkata Mara Inc juga telah mula disiasat oleh unit audit Mara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak dua bulan lepas.

Beliau menerangkan proses siasatan itu adalah kerana didapati beberapa subsidiari Mara, termasuk Mara Inc, tidak mematuhi beberapa peraturan dan unit audit Mara terpaksa masuk campur.

Annuar Musa

Oleh yang demikian, beliau berkata sebelum isu pembelian hartanah Dudley International House di Australia di dedahkan oleh akhbar The Age, tindakan penyiasatan telah pun diambil, walaupun ia tidak khusus kepada hartanah itu.

"Ini bukan berita mengejut, Mara sedang ambil tindakan.

"Laporan The Age hanya memberi maklumat tambahan dan kami akan teruskan mengambil tindakan susulan," katanya.

Annuar berkata beliau memberikan masa tujuh hari untuk Mara Inc mengemukakan ulasan bertulis mengenai perkara itu dan dalam masa 14 hari lagi, sebuah mesyuarat khas Mara akan diadakan untuk membincangkan perkara itu.

BACA: SPRM teliti laporan dakwa pegawai MARA terlibat penipuan di Melbourne

BACA: Dakwaan korupsi libatkan pegawai Mara akan disiasat secara terperinci - Najib

Annuar Musa



Akhbar Australia, 'The Age' sebelum ini melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House", daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama pelajar, dibeli oleh Mara yang menyediakan biasiswa pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield menempatkan 115 pelajar Mara di Monash University.