Pembenihan awan di kawasan KADA jika kemarau berpanjangan

Pembenihan awan di kawasan KADA jika kemarau berpanjangan
Antara langkah yang diambil untuk memastikan pengairan berterusan di bendang adalah dengan mengepam air yang dikitar semula dari sungai yang berdekatan. - Gambar hiasan
PASIR PUTEH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mungkin melaksanakan operasi pembenihan awan bagi menyelamatkan tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) jika kemarau berpanjangan.

Ketua Setiausahanya Datuk Mohd Sallehuddin Hassan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi, melakukan operasi tersebut jika bekalan air sungai untuk kegunaan bendang semakin berkurangan.

"Buat masa terdekat ini kita mengambil pelbagai langkah, termasuk dengan mengepam air yang dikitar semula dari sungai yang berdekatan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke bendang Kampung Nara yang kekeringan air di sini, pada Sabtu.
Beliau turut memantau operasi mengepam air dari Sungai Semerak ke bendang berkenaan yang membabitkan 150 hektar sawah padi yang berumur antara satu hingga dua bulan.

Kementerian tersebut turut membelanjakan lebih RM2 juta bagi pembinaan pam di kawasan itu yang mula beroperasi sejak sebulan lepas.

Mengulas lanjut, Mohd Sallehuddin berkata pihaknya juga kini membekalkan 100 'backward pump' kepada petani di seluruh kawasan KADA, yang menghadapi kekurangan air yang serius dengan 20 pam jenis yang sama untuk petani di kawasan Pasir Puteh.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 30 hingga 40 peratus daripada sejumlah 26,833 hektar tanaman padi di kawasan KADA menghadapi masalah kerkurangan air.

Katanya kerajaan Persektuan mengambil inisiatif khas bagi menyelesaikan masalah itu termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas, memantau perkembangan semasa berhubung cuaca kering yang melanda negeri ini sejak dua minggu lepas.

"Kita yakin masalah ini akan dapat ditangani sebaik mungkin kerana kita telah mengambil langkah awal hasil pengalaman kemarau berpanjangan pada 2014," katanya.

Kelantan kini berdepan cuaca kering walaupun masih berada dalam musim Monsun Timur Laut.

-- BERNAMA