Laporan Akhir Ketua Audit Negara terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadual dibentangkan esok (Rabu, 17 Disember) kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ditangguhkan.

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin dalam satu kenyataan media menyatakan penangguhan itu dilakukan berikutan Jabatan Audit Negara perlu mengemas kini beberapa maklumat.

"PAC berpendapat Laporan Audit Akhir 1MDB perlu telus, komprehensif serta adil dalam memastikan pengauditan terhadap 1MDB benar‐benar lengkap seperti yang dikehendaki Parlimen dan rakyat.

"Sehubungan itu, PAC berpendapat supaya Jabatan Audit Negara perlu diberikan masa secukupnya dalam menyiapkan Laporan Audit Akhir 1MDB dan apabila siap kelak Ketua Audit Negara akan membentangkan laporan berkenaan kepada PAC," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan tarikh baharu bagi pembentangan laporan itu.

Sebelum ini, Hasan dilaporkan berkata Laporan Akhir Ketua Audit Negara terhadap 1MDB dijangka dibentangkan kepada PAC pada 17 Disember.

Beliau dipetik berkata PAC juga akan memanggil Pengerusi 1MDB Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin untuk memberi keterangan kepada PAC selepas mendengar Laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

Menurut laporan sebelum ini, PAC dijangka menyiapkan laporan lengkap 1MDB pada Mac 2016.

Sementara itu, Hasan turut mengesahkan PAC akan mengadakan pertemuan semula dengan Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy pada 9 pagi Jumaat ini di sini seperti yang dijadualkan.

Pada 1 Disember lepas, Arul Kanda tampil memberi keterangan buat kali pertamanya kepada PAC dan Hasan dilaporkan berkata PAC akan bertemu semula Arul Kanda pada Jumaat ini untuk memberikan penjelasan lebih lanjut berkaitan syarikat tersebut.

BACA: Prosiding PAC-1MDB: 'Kami telah jawab dengan sebaik mungkin' - Arul Kanda