Dewan Rakyat hari ini kecoh dengan pembentangan pertama usul pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung.

Pindaan itu menumpukan aspek menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dengan Semenanjung seperti kedudukan sebelum tahun 1976.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bagaimanapun berkata, notis Rang Undang-Undang (RUU) itu sudah diberitahu pada Rabu dan sebarang isu akan dibincangkan pada bacaan kedua.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong membentangkan RUU itu di hadapan Mohamad Ariff.

Katanya, bacaan kali kedua RUU tersebut akan dibentang pada persidangan kali ini.

Huraian RUU itu terkandung dalam versi dwibahasa empat muka surat dan RUU itu, antara lain, bertujuan menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan untuk menyatakan semua negeri yang membentuk Persekutuan dengan mengembalikan, dengan ubah suaian, kedudukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia pada 1963.

Menurut huraian RUU itu, pindaan itu dibuat selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia (MA63) yang dimeterai pada 1963 selain memenuhi aspirasi dan harapan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta rakyat kedua-dua negeri.

Pindaan tersebut dalam apa-apa cara juga tidak mengubah fungsi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di bawah konsep federalisme.