Tutup

Pemberhentian khidmat bas percuma BEST FIZ bebankan pengguna - Jahara

Pemberhentian khidmat bas percuma BEST FIZ bebankan pengguna - Jahara
JAHARA: Langkah memberhentikan caj perkhidmatan bas percuma ini dilihat membantutkan usaha menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Pulau Pinang mengenakan caj bagi perkhidmatan bas Bridge Express Shuttle Transit (BEST) Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Bayan Lepas disifatkan membebankan pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, Datuk Jahara Hamid berkata tindakan menghentikan perkhidmatan percuma BEST FIZ sebagai tidak membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meningkat di negeri itu.

Jahara, yang juga ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menarik balik langkah berkenaan yang dianggap tidak realistik kerana membabitkan kepentingan lebih 800 pengguna setiap hari.

"Langkah memberhentikan caj perkhidmatan bas percuma ini dilihat membantutkan usaha menyelesaikan kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

"Negeri ini masih memerlukan kemudahan awam yang baik dan tindakan mengenakan caj itu akan meningkatkan kos pengangkutan pengguna," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sementara itu, Jahara juga pernah mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menambah bilangan bas percuma di beberapa laluan termasuk pembinaan lebih banyak kemudahan 'park and ride' untuk keselesaan penduduk negeri itu.

"Pertingkatkan bilangan bas percuma di beberapa laluan. Tambah kemudahan 'park and ride' dan saya pernah bangkitkan isu ini di dalam dewan undangan negeri.

"Kita kena ada sistem kemudahan awam yang baik dan perkhidmatan percuma adalah insentif kepada penduduk," katanya lagi.

Kerajaan negeri akan mengenakan caj nominal terhadap perkhidmatan bas BEST FIZ Bayan Lepas berkuat kuasa 20 Julai ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri telah meluluskan langkah tersebut sejak 17 Jun lalu iaitu untuk mengenakan caj RM50 sebulan atau RM3 sehala bagi setiap pengguna.

Pembaharuan menyaksikan kerajaan negeri mengurangkan kos operasi lebih RM60,000 sebulan atau RM720,000 setahun manakala kutipan caj nominal akan menyumbang kepada penjimatan selanjutnya apabila bayaran perkhidmatan kepada Rapid Penang ditolak daripada jumlah kutipan caj itu.

Perubahan jadual BEST FIZ juga dijangka mampu mengurangkan bilangan bas yang beroperasi daripada 13 buah sekarang kepada tujuh buah.

"Tujuan pelaksanaan perubahan ini adalah untuk mendapatkan komitmen penumpang terhadap perkhidmatan tersebut agar dapat mengoptimumkan kadar pengguna dan mengurangkan bebanan kos," katanya.

Perkhidmatan BEST FIZ secara percuma dilancarkan pada Mac 2011 bertujuan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas ketika waktu kemuncak dan mengurangkan beban kewangan para pekerja.

Kerajaan negeri bagaimanapun dilapor bersedia menerima sebarang maklum balas daripada pengguna selepas melaksanakan pembaharuan ini.