Kerajaan negeri Johor menyifatkan pemberian bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 yang diumumkan semalam, tidak sepatutnya dijadikan isu.

Menjelaskan perkara itu, Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sebaliknya bantuan khas itu merupakan bantuan yang diberikan kerajaan negeri selama beberapa tahun sebelum ini.

"Yang beri itu ialah kerajaan (negeri). Saya rasa tiada masalah.

"Ini adalah elaun yang sebelum ini pernah diberi. Sebelum ini, setiap tahun, bantuan khas ini diberi, pada pandangan saya tiada isu," katanya kepada pemberita sewaktu pembukaan semula Terminal Feri Antarabangsa Kukup, dekat sini, hari ini.

Dr Sahruddin berkata demikian ketika ditanya sama ada pemberian bantuan khas ini menyalahi undang-undang semasa tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurut beliau, bantuan khas itu akan diberikan secara berperingkat mengikut kawasan dan bukannya secara ansuran mulai minggu depan.

"Kita baru sahaja lulus pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) semalam. (Bantuan khas) ini hanyalah kepada nelayan yang terlibat di Johor selatan sahaja," kata Menteri Besar ketika ditanya mengapa pengumuman mengenai bantuan khas itu dibuat dalam tempoh PRK itu.

Dr Sahruddin pada sidang media di Iskandar Puteri semalam berkata, seramai 1,513 nelayan bakal menerima bantuan khas nelayan sebanyak RM1,000 melibatkan anggaran lebih RM1.5 juta.

Nelayan yang terlibat adalah seramai 432 nelayan di Gelang Patah dan Pulai, seramai 537 orang nelayan di Pasir Gudang, Johor Bahru dan Tebrau serta 544 nelayan di Pontian termasuk Tanjung Piai.

Sementara itu, Dr Sahruddin menafikan dakwaan bahawa beliau "bengang dan marah" dengan jentera Barisan Nasional (BN) ketika bertembung, sewaktu berkempen bersama calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini di sebuah pasar lambak, berdekatan Parit Hj Adnan, dekat sini, petang semalam.

"Saya tidak bengang, marah. Saya cuma minta izin untuk bercakap, saya tiada apa-apa isu. Saya juga bersalaman (dengan mereka). Saya rasa mereka yang (terasa). Saya relaks sahaja, hendaklah kita selidik dulu dan berfikiran positif," kata beliau.

Dr Sahruddin, yang juga Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang beliau "bengang" dengan tindakan segelintir jentera BN dan cuba mengambil mikrofon yang ketika itu dipegang oleh Exco Pemuda UMNO Farhan Khairuddin. - BERNAMA