Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew menyifatkan pengumuman Kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti 20 peratus kepada negeri pengeluar minyak di negara ini merupakan bukti ketelusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menunaikan manifesto ketika pilihan raya umum yang lalu.

Dalam konteks negeri Sabah, pengumuman itu adalah satu berita yang cukup bermakna yang seterusnya akan memberi kesan dalam aspek pembangunan di negeri ini.

“Pengumuman itu memperlihatkan kerajaan di Pakatan Harapan komited dalam menunaikan janji kerana 20 peratus royalti minyak adalah salah satu manifesto dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Saya juga rasa gembira kerana ia telah diumumkan sebelum tempoh 100 hari kerajaan baru memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan buku The Genus Schefflera, di salah sebuah hotel terkemuka,di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan memenuhi janji menyalurkan royalti 20 peratus kepada negeri-negeri pengeluar minyak seperti Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Namun setakat ini, Sabah dan Sarawak menerima royalti petroleum lima peratus.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, dalam pada itu turut menyambut baik cadangan AirAsia Berhad (AirAsia) membuka kembali Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu tetapi perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan.

“Saya rasa cadangan ini baik kerana ia akan membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, pembukaan semula terminal 2 itu juga beri kesan kepada sektor pelancongan kita dan cadangan Tony Fernandes itu saya sambut baik,” katanya.