Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution optimis pemberian subsidi bersasar petrol RON95 dapat dilaksanakan pada suku kedua tahun depan.

Beliau berkata perbincangan dan rundingan telah dilakukan dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan mengikut jadual.

"Insha-Allah kita akan dapat laksanakan ikut jadual, kita harap dapat laksanakannya berperingkat bukan sekali gus.

"Kita mahu lakukan beransur-ansur supaya masyarakat ada masa untuk menyesuaikan dengan cara baharu ini," katanya di Sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Merbok Nor Azrina Surip yang bertanya perkembangan pelaksanaan perkara pemberian subsidi.

Terdahulu beliau menjelaskan rundingan sistem pelaksanan subsidi bersasar RON95 menumpukan beberapa perkara seperti operasi pemberian perlu lancar dan tidak ada gangguan.

Katanya sistem yang dibangunkan untuk pemberian subsidi juga boleh diperluaskan dan tidak digunakan bagi satu tujuan sahaja.

“Sistem yang dipilih nanti mesti ada keupayaan untuk lakukan proses tujuan penggunaan maksud lain, dan dapat diguna sistem sama dalam sistem ini.

“Ia juga harus selamat tiada unsur pencerobohan sistem dan ianya dimuktamadkan berjalan sesuai untuk semua stesen minyak.”

Kerajaan dalam Belanjawan 2019 mengumumkan pemberian subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter yang terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta dengan kapasiti enjin bawah 1,500cc.

Manakala 40 liter sebulan untuk pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Menteri Kewangan Lim Gua Eng berkata kerajaan memperuntukkan RM2 billion bagi pemberian subsidi minyak secara bersasar dan bakal memberi manfaat kepada seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

Tambah Saifuddin berkata setiap bulan penggunaan petrol di negara berjumlah sebanyak 1.2 bilion liter.