Sembilan pihak termasuk lima pembuli, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan bekas Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (Sesma) diarah membayar tuntutan sebanyak RM616,634.20 kepada seorang pelajar.

Kesemua sembilan individu itu didapati bersalah menyebabkan kecederaan, tekanan perasaan secara berterusan dan juga pembelajaran terjejas kepada pelajar tingkatan dua terbabit, empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Zainal Azman Ab Aziz membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan yang difailkan plantif menerusi bapa mangsa, Ahmad Fauzi Abdullah, 50, terhadap sembilan pihak terbabit.

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tuntutan terhadap Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia.

Dalam kejadian 26 April 2015 lalu, mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun dibuli dan dipukul selama lebih tiga jam oleh lima pelajar senior.

Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan koyak di selaput telinga kanan, kehilangan pendengaran, trauma, tekanan perasaan dan beberapa lagi kecederaan lain.

Selain cedera, kejadian buli itu juga menyebabkan plaintif mengalami tekanan perasaan secara berterusan dan juga pembelajaran terjejas sehingga terpaksa berpindah ke sekolah baharu sejak Julai 2015.

"Keputusan ini bukan untuk anak saya, tetapi keputusan ini untuk mangsa buli yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya. Saya bersyukur kepada Allah," kata Rusaila Abdullah, ibu kepada mangsa.

Menurut Rusaila, saman dibuat bertujuan untuk menyedarkan masyarakat bahawa budaya buli amat merbahaya sekiranya dibiarkan.