Dua suspek buli dan curi membabitkan seorang remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di padang permainan Taman Sri Kluang, petang semalam disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, hasil ujian dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka mengambil dadah jenis methamphetamine.

"Kedua-dua suspek yang ditahan di rumah mereka di Taman Sri Lambak kira-kira jam 11 malam tadi itu disiasat mengikut Seksyen 382 Kanun Keseksaan kerana samun dan kini direman empat hari.

"Polis turut merampas semula sebuah telefon bimbit, wang tunai RM20 dan beg sandang dipercayai milik remaja OKU berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Video berdurasi 32 saat mengenai kejadian buli berkenaan viral di media sosial antara lain menunjukkan seorang daripada suspek membuli remaja OKU berkenaan menggunakan sebatang kayu di taman permainan berkenaan.