Mahkamah Majistret Miri membenarkan permohonan untuk memindahkan kes Datuk Stephen Lee Chee Kiang, yang dituduh bersubahat dalam pembunuhan Setiausaha PKR Bill Kayong, ke Mahkamah Tinggi Miri.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu selepas timbalan pendakwa raya Noor Fadzila Ishak memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan perlu mendapatkan persetujuan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan bila tertuduh akan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi.

Lee,45, dituduh melakukan kesalahan itu bersama tiga orang lagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket di lencongan Jalan Kuala Baram kira-kira 8.20 pagi pada 21 Jun, 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 302 Kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Pada 25 Nov, pembantu peribadi Lee iaitu Chin Wui Ching, 50, dan pemilik pub Lie Chang Loon, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Miri atas pertuduhan bersubahat dengan pengawal (bouncer) kelab malam Mohamad Fitri Pauzi, 29, dalam pembunuhan Bill yang nama Islamnya ialah Mohd Hasbie Abdullah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 109 yang dibacakan bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh pertama Mohamad Fitri juga mengaku tidak bersalah pada 25 Nov membunuh Bill di tempat, masa dan tarikh yang sama dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan sembilan hari bagi perbicaraan bermula 3 Jan, 2017.

Pada 14 Dis, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata polis sedang giat memburu suspek kelima, lelaki berusia 35 tahun yang juga pemilik pusat karaoke, untuk membantu siasatan

-- BERNAMA