Polis akan menggunakan perintah rasmi kerajaan untuk membawa pulang seorang lelaki berpangkat 'Datuk' yang merupakan seorang suspek kes pembunuhan Setiausaha PKR cawangan Miri, Bill Kayong, yang kini dilaporkan berada di Australia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, Senior Asisten Komisioner S. Dev Kumar, memaklumkan suspek yang berpangkat 'Datuk' itu dilaporkan terbang ke Australia dua hari selepas insiden tembakan pada 21 Jun lalu.

"Dia (Datuk) antara tiga suspek yang diburu polis sebelum ini berhubung siasatan pembunuhan terbabit.

"Memang betul suspek telah ke luar negara dua hari selepas kejadian dan kita akan gunakan saluran rasmi untuk membawa pulang suspek," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambahnya pemburuan suspek kini telah selesai dan kesemua telah pun dituduh di mahkamah.

"Semua telah selesai dan kita telah tuduh kesemua mereka bersama-sama Lee Chee Kiang dan hanya menunggu tarikh perbicaraan," ujarnya lagi.

Jelasnya sebarang perkembangan terkini siasatan pembunuhan hanya akan diketahui setelah perbicaraan ke atas semua suspek selesai mengikut ketetapan mahkamah.

Terbaru Mohamad Fitri Pauzi, 29, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh sementara Lie Chang Loon, 37 didakwa mengikut Seksyen 109 kerana bersubahat membunuh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat jalan Miri-Bintulu pada 21 Jun lalu.