Tutup

Pemburuan haram jadi hobi 'VVIP' di Taman Negara - Ketua Polis Negara

Pemburuan haram jadi hobi 'VVIP' di Taman Negara - Ketua Polis Negara
ABDUL HAMID: "Saya dah tetapkan SOP, sekiranya pemburu haram bertindak mencedera atau menyebabkan kematian mereka dibenarkan lepaskan tembakan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Golongan orang kenamaan atau VVIP antara yang dikesan terlibat dengan aktiviti pemburuan haram di Taman Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kumpulan itu dipercayai melakukan aktiviti itu sebagai salah satu hobi mereka.

"Saya dapati ada berbelas sindiket. Saya juga dapat maklumat VVIP terlibat dalam aktiviti pemburuan haram.

"Saya serius dalam perkara ini sekiranya  dikenal pasti kita akan pastikan senjata api mereka dirampas dan tidak akan terlepas dengan proses pendakwaan," katanya ketika sidang media Op Khazanah di Bukit Aman pada Rabu.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menjalankan kerjasama bersama pihak Perhilitan dan Perhutanan termasuk beberapa pihak badan bukan kerajaan (NGO) dalam Op Khazanah bertujuan memerangi sindiket pemburuan haram.

Menurut Abdul Hamid, beberapa unit daripada PDRM bersama kelengkapan senjata antaranya Pasukan Marin, Senoi Praak, Pasukan Gerakan Am (PGA) termasuk Unit Udara telah dikerah untuk bekerjasama dalam memburu sindiket berkenaan.
"Saya dah tetapkan SOP, sekiranya pemburu haram bertindak mencedera atau menyebabkan kematian, mereka dibenarkan lepaskan tembakan.

"Ini hutan kita kenapa warga asing dan lain-lain pula yang nak ugut pegawai penguatkuasa," katanya lagi.

Pada tahun 2017, terdapat pihak penguatkuasa yang cedera sehingga menerima jahitan akibat diserang penceroboh.

Selain itu pihak polis turut mencadangkan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung hukuman sedia ada agar dikenakan dengan lebih berat termasuk menambah hukuman sebat.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Fakhrul Hatta Musa dan Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Zahari Ibrahim.

Terdahulu, satu mesyuarat tertutup diadakan membincangkan usaha dan kerjasama antara PDRM dan beberapa pihak dalam usaha membanteras sindiket itu.


Tag: PDRM, Ketua Polis Negara, warga asing, haram, Polis Diraja Malaysia, Abdul Hamid Bador, NGO, Khazanah, VVIP, SOP, Kementerian Dalam Negeri, pemburu haram



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.