Tiada keperluan untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibubarkan tetapi peranannya perlu dikemaskini dan diperkasakan.

Ini pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang bertemu Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham pada hari ini.

Apabila ditanya sama ada beliau ada berbincang mengenai Jakim dengan Majlis tersebut, Dr Zulkifli berkata perkara itu tidak dibincangkan langsung.

"Kami bincang berkenaan dengan agama sahaja, isu-isu berkenaan tafsir ayat-ayat Al-Quran, pencerahan yang kami beri, isu-isu berkenaan dengan beberapa ayat Al-Quran,surah-surah dalam Al-Quran dan juga (perkara) yang berkenaan dengan soal-soal masyarakat di negara kita.

"Mengenai perkembangan tentang Jakim, saya pegang apa yang dikatakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa isunya bukan mengenai Jakim dibubarkan tetapi isunya melihat peranan dan juga bagaimana untuk mengemaskini dan memperkasakannya. Insya-Allah, tidak ada masalah," kata beliau.