Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dipilih sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak berdasarkan Perlembagaan Negeri Sarawak dan bukan secara sistem kaukus yang menjadi amalan terdahulu.

Di bawah Perkara 6(3)(a) perlembagaan itu memperuntukan kuasa kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak iaitu Tun Abdul Taib Mahmud untuk memilih Ketua Menteri daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri(DUN) Sarawak yang mendapat keyakinan majoriti anggota DUN itu.

Perkara ini termaktub sebagai sebahagian daripada Perjanjian Pembentukan Malaysia 1963.

Pensyarah di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ketika menjelaskan perkara ini berkata pelantikan ketua menteri boleh dibuat melalui dua cara iaitu sama ada melalui Perlembagaan Negeri atau melalui sistem kaukus yang termaktub dalam perlembagaan PPB selaku parti tonggak kerajaan negeri Sarawak.

"Demi menhaja keharmonian dalaman parti, pucuk pimpinan memutuskan untuk tidak menggunakan sistem kaukus tetapi sebaliknya meminta Yang Dipertua Negeri Sarawak menggunakan peruntukan perlembagaan negeri dalam pemilihan ketua menteri keenam Sarawak," katanya.

Berdasarkan inilah maka Yang Dipertua Negeri Sarawak bertemu dengan pucuk pimpinan tertinggi PBB pagi tadi sebelum keputusan melantik Abang Johari diumumkan," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pimpinan tertinggi PBB berpendapat sesuai dengan situasi sekarang, pelantikan itu tidak menggunakan sistem kaukus seperti amalan ketika Adenan dipilih sebagai ketua menteri pada Februari 2014.

Berikutan pemergian mengejut Allahyarham Adenan, Rabu lepas, urusan pelantikan dibuat dengan kadar segera susulan tiada peruntukan untuk jawatan pemangku ketua menteri dalam perlembagaan negeri.

Abang Johari mengangkat sumpah jawatan di hadapan Abdul Taib di Astana Negeri di Petra Jaya, Kuching, hari ini.

Abang Johari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Satok yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik, merupakan seorang daripada tiga timbalan ketua menteri di bawah pentadbiran Allahyarham Adenan, selain Datuk Amar Douglas Uggah dan Tan Sri Dr James Masing.

-- BERNAMA