Langkah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menyita kapal mewah 'The Equanimity' dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia, kini dicabar pemilik sah kapal berkenaan, Equanimity (Cayman) Limited di mahkamah Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).

Equanimity (Cayman) Limited dalam kenyataan yang dikeluarkan di London semalam menyifatkan DOJ dan pihak berkuasa Indonesia bertindak melampaui batas perundangan negara masing-masing dalam isu terbabit.

Sehubungan itu, dokumen berkaitan sudah difailkan di mahkamah kedua-dua negara bagi membuktikannya.

Pemilik kapal itu mendakwa, DOJ sendiri menangguhkan kes melibatkan aset berkenaan tahun lalu dan tiada langkah diambil bagi membuktikan berlaku sebarang salah laku.

Bagaimanapun kapalnya disita di Indonesia, sedangkan perintah penangguhan yang dikeluarkan mahkamah berhubung kes itu masih sah.

"Tindakan DOJ memfailkan (kes) di California adalah usaha untuk menggunakan dakwaan yang boleh dipertikaikan mengenai tindakan yang diambil sebelum ini bagi menutup tindakannya sendiri yang bercanggah dengan undang-undang di Indonesia.

"Seperti ditunjukkan dalam dokumen mahkamah yang difailkan Equanimity (Cayman) Limited, tindakan DOJ hanya akan menjejaskan nilai kapal terbabit dengan ketara, selain mendedahkan anak kapal kepada bahaya.

"Tindakan itu tidak perlu sama sekali kerana kami sentiasa bersedia menjual kapal berkenaan sementara kes DOJ masih berjalan. Sekiranya jualan dibuat berdasarkan keadaan pasaran yang mencerminkan nilai sebenar dan mendapat harga yang adil," katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu katanya, DOJ juga tidak pernah mencuba cuba untuk mendapatkan hak milik kapal mewah itu dengan menghubungi pihaknya walaupun sudah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan badan itu dan mahkamah AS.

Tambah kenyataan itu, walaupun DOJ boleh mengambil mana-mana tindakan yang dinyatakan itu pada bila-bila masa, namun badan itu memilih jalan yang sebenarnya tidak perlu, mahal dan tidak dirancang dengan baik apabila menyita kapal berkenaan di perairan Indonesia, sekali gus menjejaskan nilainya.

Malah menurut pemiliknya, lokasi kapal itu juga tidak pernah dirahsiakan.

Susulan itu, Equanimity (Cayman) Limited selaku pemilik kapal, memfailkan jawapan pada Rabu bagi membetulkan kesilapan fakta dan salah tafsir dalam dokumen terbaru yang difailkan kerajaan AS.

Justeru, Equanimity (Cayman) Limited, selaku pemilik 'The Equanimity' bertekad meneruskan usaha melindungi hak dan asetnya.