Pemilik restoran dalam insiden rempuhan kenderaan pacuan empat roda yang menyebabkan kematian seorang pelanggan wanita di Taman Equine Ahad lepas telah meletakkan kerusi meja melebihi jumlah yang diluluskan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Mohd Zulkarnain Che Ali berkata hal itu dikesan hasil siasatan awal MPSJ.

Katanya walaupun diberi kebenaran meletak kerusi meja di ruangan parkir awam, namun jumlah yang diletak pemilik restoran melebihi jumlah yang diluluskan sehingga ada yang diletak berhampiran jalan raya.

"Pemilik restoran didapati melakukan kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007.

"Pihak lembaga pengarah dan ahli jawatankuasa kini yang akan membuat keputusan terhadap tindakan yang akan dikenakan terhadap pemilik restoran tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup program Generasi Bestari (Smart Gen) dan Penyampaian Sekolah Sejahtera MPSJ di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden tersebut yang juga menyebabkan empat lagi cedera apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas dan merempuh mangsa yang sedang makan di meja yang diletakkan di kawasan parkir di hadapan restoran itu kira-kira jam 8.30 malam.

BACA: Wanita maut, empat pelanggan cedera dilanggar ketika makan di restoran

BACA: Pemandu rempuh pelanggan restoran berjaya ditahan

BACA: PBT perlu perkenal dasar keselamatan makan di jalan awam

Mohd Zulkarnain berkata, satu pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri pada 2008 secara jelas memberi kebenaran untuk meletakkan kerusi meja di luar premis perniagaaan dengan syarat perlu menyediakan penghadang keselamatan serta memiliki perlindungan insurans agar pelanggan terhindar daripada sebarang insiden yang tidak diingini.

Beliau berkata peniaga yang didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan akan berhadapan dengan tindakan kompoun dan sita selain perlucutan lesen berniaga.

Dalam perkembangan lain, Mohd Zulkarnain berkata terdapat sebanyak RM30 juta cukai taksiran yang belum dilunaskan pemilik rumah di bawah MPSJ setakat ini, namun yakin jumlah itu mampu dikutip oleh pasukan khas yang akan menguruskan kutipan cukai taksiran.

"Kita faham ada sesetengah pemilik rumah yang berada di luar negara yang menyebabkan mereka tidak dapat membuat bayaran," katanya.

Katanya lagi pemilik rumah yang menghadapi masalah untuk menyelesaikan cukai taksiran boleh datang berbincang dengan MPSJ.

"Terdapat cukai taksiran yang tinggi dan setelah berbincang, mereka dapat membuat pembayaran 50 peratus atau 20 peratus secara berperingkat. Kita juga memahami situasi sesetengah pembayar cukai memandangkan keadaan ekonomi sekarang," katanya lagi.

- BERNAMA