Pemilik syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd telah melakukan kesilapan kerana 'mengupah' orang Melayu untuk mengawal Kuil Sri Maha Mariamman di Putra Heights, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau difahamkan syarikat itu telah mendapat kebenaran mahkamah untuk mengalihkan kuil berkenaan dan pampasan telah pun dibuat kepada pihak yang mendakwa mereka penjaga sah kuil itu.

"Mahkamah mendapati lebih baik untuk kuil itu dialihkan, dan syarikat itu telah membuat pampasan. Mereka menjangkakan dapat memulakan kerja-kerja pengalihan secepat mungkin, dan mereka mengupah kumpulan tertentu untuk menjaga kuil itu dari pihak-pihak tertentu yang cuba mengganggu atau memusnahkan kawasan itu.

"Tetapi mereka melakukan kesilapan dengan mengupah orang Melayu untuk menjaga kuil Hindu itu. Anda juga tidak boleh mengupah orang Hindu untuk menjaga masjid. Orang luar tidak akan faham sensitiviti ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di sini, malam ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan meluluskan resolusi untuk memastikan sebarang rumah ibadat, sama ada kuil, tokong atau masjid, tidak boleh dibina sesuka hati tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Masalahnya ialah kuil dibina di mana-mana, walaupun tanah itu milik orang lain. Itu masalahnya. Jadi kerajaan cuba luluskan resolusi dan mewajibkan rumah ibadah tak boleh dibina tanpa kebenaran PBT.

"Masalah juga jika rumah ibadat itu dibina tanpa mengambil kira siapa tuan sebenar tanah itu, dan apabila tuannya mahu menuntut kembali tanah itu, kekecohan timbul," katanya lagi.