Kumpulan seperti militan IS yang selama ini dikenali sebagai kelompok yang membawa ancaman keganasan turut pernah mengugut para pemimpin negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan perkara tersebut melalui laporan yang diterimanya dan perkara itu telahpun sebelum ini dimaklumkan kepada orang ramai.

“(Mengenai) ancaman dan juga ugutan itu saya mengesahkan (ia berlaku) terhadap pemimpin-pemimpin negara ini. Ia merupakan sesuatu yang telah dilaporkan kepada saya tempoh hari dan telahpun dimaklumkan kepada orang ramai.

“Ini bermakna bahawa keselamatan negara, pemimpin, dan serantau dalam konteks ancaman tidak boleh diambil mudah kerana sesiapa sahaja boleh menjadi individu yang membawa huru-hara. Tengoklah apa yang berlaku pada Perancis hari ini,” kata beliau.

Tambahnya, maklumat tentang ancaman daripada IS pernah diterima sebelum mesyuarat bersama Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN di Langkawi pada Mac lalu ketika kesemua 10 negara bersetuju untuk membanteras keganasan.

Beliau yang diminta mengulas tentang insiden di Paris dan kesan rantaian keganasan di rantau ini, ditemui media pada majlis sambutan perayaan Deepavali peringkat negeri Johor di sini pada Ahad.

Hishammuddin juga berkata, isu Islamofobia yang melanda dunia ketika ini tiada kaitan dengan insiden serangan keganasan yang berlaku di Paris pada Sabtu, selain menegaskan agar tuduhan tidak terus dilemparkan terhadap Islam.

Jelasnya, serangan berskala besar itu menandakan ASEAN turut perlu mempercepatkan proses perdamaian di selatan Mindanao, Filipina, dan Thailand yang kini bergolak akibat aktiviti kumpulan pemisah.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu memastikan isu ekonomi, politik dan pemerdagangan manusia turut diambil kira dan diteliti dalam perbincangan hal keselamatan dan pertahanan.