Arahan pemindahan dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) minggu lepas telah dibatalkan, menurut sumber yang memberitahu Astro AWANI.

Kedua-dua pegawai berkenaan, Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Strategik Komunikasi Datuk Rohaizad Yaakob memulakan tugas hari ini kira-kira pukul 10 pagi.

Kehadiran mereka telah diberi sambutan luar biasa oleh kakitangan SPRM, kata sumber itu.

Kedua-dua mereka sebelum ini dijadual mengadakan mesyuarat hari ini bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa bagi membincangkan pemindahan mereka.

Bahri adalah antara tokoh yang terlibat dalam penyiasatan ke atas akaun-akaun milik SRC International Sdn Bhd, sebuah entiti yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau juga lantang bersuara berhubung penangkapan beberapa pegawai kanan SPRM sejak minggu lepas.

Surat daripada JPA dilaporkan menyebut bahawa kedua-dua mereka dipindahkan atas 'masalah disiplin'.

Sementara itu, wartawan Astro AWANI Harits Asyraf Hasnan melaporkan bahawa pihak media kini sedang berkumpul di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya menantikan perkembangan terbaharu tentang isu ini.