Pemindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PU KL) di Sungai Besi ke Pangkalan Udara Sendayan (PU Sendayan) dibuat berdasarkan faktor rasionalisasi daripada aspek operasi dan keselamatan, kata Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Katanya, kepesatan pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyebabkan perubahan landskap di sekitar PU KL, yang kini padat dengan penduduk dan terletak berhampiran Lebuh Raya Sungai Besi, menjadikannya tidak sesuai lagi sebagai pusat operasi TUDM.

"PU KL bukan lagi di tempat yang sesuai dijadikan pusat operasi untuk tentera udara...di mana untuk operasi penerbangan jadi tidak berapa selamat, ini disebabkan dengan adanya bangunan tinggi dan kepadatan penduduk.

Keduanya, kawasan ini (PU KL) amat terdedah dengan ancaman luar disebabkan lokasi PU KL sekarang ini yang kita lihat lebuh raya dan kawasan perumahan yang berdekatan seperti yang kita tahu dengan ancaman ada sekarang ini, ia boleh dilancarkan daripada kawasan tersebut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurutnya kedudukan PU KL yang terdedah kepada umum itu turut menyukarkan pihak TUDM untuk memberi perlindungan mantap sebagai kawasan operasi ketenteraan kerana terdedah kepada aktiviti pengintipan.