Seorang pemotong rumput terkejut selepas menemui satu objek disyaki bom lama berhampiran sebuah hotel di Kuala Nerus.

Bom jenis mortar itu dikesan ketika dia melakukan kerja memotong rumput pada kira-kira jam 11.30 pagi Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Razmi Mohd Gunnos berkata, individu berkenaan yang panik dengan penemuan itu, terus membuat laporan polis.

"Seramai lapan kekuatan dari Unit Pemusnah Bom dikejarkan ke lokasi penemuan, seterusnya melakukan tindakan lanjut termasuk meletupkan bom tersebut," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya bom berkenaan telah berjaya dimusnahkan pada kira-kira jam 4.25 petang oleh Unit Pemusnah Bom.