Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang rosak, dalam kejadian di Kilometer 161, Jalan Jerangau-Jabor, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 8.35 malam itu, mangsa Muhamad Aiman Hakimi Rozuki, 21 tahun, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai pembantu penjual ikan dikatakan dalam perjalanan dari kediamannya di Bandar Cheneh Baru untuk bermain futsal di Kuantan.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kanan lori yang membawa muatan bijih besi.



Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.