Popular dalam sekelip mata!

Mohd Faizul Lokman, 30, setakat ini mempunyai lebih lima juta pengikut Facebook (FB) dari seluruh dunia, sejurus selepas memuat naik video beliau menunggang motosikal tanpa henti dalam banjir sedalam 1.5 meter.

Kecekapan beliau mengubahsuai motosikalnya berkuasa rendah hingga mampu meredah banjir mengagumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Anggota Parlimen Besut itu berkata daya kreativiti Mohd Faizul boleh diketengahkan untuk tujuan komersial.

Mohd Faizul atau Jijoe berkata beliau tidak menyangka video itu meraih begitu ramai pengikut setelah menjadi viral di media sosial.

Sehingga pagi ini, ia telah ditonton oleh seramai 5,314,058 pengikut FB dari seluruh dunia.



Video Mohd Faizul menunggang motosikal tanpa henti dalam banjir sedalam 1.5 meter - Sumber YouTube Qistina Balqis

Menerusi klip video berdurasi 1 minit 24 saat itu itu Jijoe menunggang motosikal di dalam banjir sedalam 1.5 meter sekitar Kampung Gong Chokoh, Padang Luas, Jerteh bersama kakaknya Khazuraini, 35, disulami dengan lagu "Jomblo Happy" dari Kumpulan Gamma 1.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nering, Jerteh itu, motosikalnya itu telah diubahsuai enjinnya untuk digunakan dalam air.

"Video dirakam 4 Januari lalu ketika daerah Besut dilanda banjir.

"Kerana tahu dengan kepakaran saya mengubahsuai motosikal, maka kakak saya yang pulang bercuti dari ibu negara mengajak saya pergi bermain air di sebuah kawasan kelapa sawit dengan motosikal milik arwah ayah saya itu," katanya.

Katanya, beliau mengubahsuai kedudukan karburetor dan tangki minyak motosikal berkenaan ke tempat tinggi dengan diletakkan di dalam bakul dan palang motosikal.

"Apabila karburetor dan tangki minyak duk (diletakkan) di atas ia lebih selamat kerana tidak boleh dimasuki air hingga menyebabkan enjin motosikal pun tidak mati," katanya yang bekerja sambilan sebagai mekanik motosikal dan tukang rumah.

Katanya, terdapat lima lagi rakannya mengubahsuai motosikal mereka semata-mata untuk bermain dan menunggang di musim banjir.

-- BERNAMA