Kakitangan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) tidak akan diberhentikan walaupun syarikat penerbangan negara itu diambil alih oleh syarikat lain.

Jaminan itu diberikan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau pada masa sama mahu nama Malaysia dikekalkan dalam membuat sebarang keputusan berhubung pelan pemulihan yang sedang dilaksanakan.

“Kita berharap dalam apa juga tindakan yang diambil, kita tidak perlu gugurkan pekerja, tetapi kalau mereka pilih untuk bekerja dengan syarikat lain itu adalah keputusan mereka.

"Kita sendiri tidak akan tamatkan. Syarat kita kepada pembeli ataupun mana-mana rakan kongsi, kita tidak akan kurangkan pekerja yang berada dalam MAS sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang berharap tiada pekerja syarikat itu akan diberhentikan.


Dr Mahathir berkata kerajaan melihat Malaysia Airlines sebagai aset strategik yang akan terus dipertahan dan dipulihkan.

"Namun begitu, usaha pemulihan ini tidak akan berjaya sekiranya kita hanya menyatakan iltizam dengan pelbagai pelan tetapi tidak diikuti dengan usaha bersungguh-sungguh.

"Pengorbanan semua pihak yang terlibat terutamanya pihak pengurusan dan kakitangan Malaysia Airlines Berhad amat penting dalam meningkatkan mutu perkhidmatan, mengoptimumkan pulangan ke atas perbelanjaan serta mengutamakan produktiviti," katanya.

Sokongan rakyat, kata perdana menteri, juga diperlukan untuk menjayakan usaha meletakkan kembali syarikat penerbangan negara di tahap yang membanggakan.

Beliau menyatakan demikian menjawab soalan asal Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli) mengenai langkah diambil kerajaan untuk memulihkan prestasi syarikat itu serta sejauh mana keberkesanannya sehingga ke hari ini.