Gara-gara mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, seorang penagih dadah ditahan polis pada Khamis dalam kejadian di sebuah rumah di Butterworth, Pulau Pinang.

Lelaki terbabit dilaporkan telah meraba kemaluan kanak-kanak tersebut pada jam 1.50 pagi, ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu rumah dua tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata mangsa yang terkejut terus menjerit meminta pertolongan dan jiran yang menyedari jeritan mangsa terus bergegas untuk membantu.

Berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 24 tahun ketika itu dipercayai sedang mengekori ibu mangsa berusia dalam lingkungan 30-an yang berjalan kaki pulang ke rumah selepas kerja.

Noorzainy berkata, ibu mangsa dikatakan tidak menyedari bahawa dirinya diekori dan terus naik ke bahagian atas rumah sebelum terdengar jeritan anak perempuannya yang sedang tidur di bahagian ruang tamu.

Jelasnya, suspek yang dipercayai seorang ‘pedofil’ itu menyeluk tangannya ke dalam seluar kanak-kanak berkenaan hingga menyebabkan mangsa terjaga dari tidur.

Siasatan lanjut juga mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

Suspek ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Noorzainy berkata, polis berjaya menumpaskan kegiatan pecah tabung surau dan masjid apabila berjaya menahan tiga lelaki yang memecah masuk sebuah surau di Taman Bertam Perdana dan Permatang Tinggi, di Kepala Batas.

Ketiga-tiga mereka mengaku terbabit dalam kegiatan pecah tabung surau dan masjid dalam daerah ini yang mana hasilnya digunakan untuk membeli dadah.

Mereka kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.