Penambahan tren empat gerabak untuk kegunaan LRT Laluan Kelana Jaya akan mengurangkan masa menunggu dalam jangkaan dua sehingga tiga minit sahaja untuk setiap perjalanan.

Pengerusi Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia antara kelebihan yang akan diperoleh dari keseluruhan penambahan 27 set tren untuk kegunaan LRT di laluan berkenaan.

"Kami menamakan projek ini KLAV 27, ringkasan kepada Kuala Lumpur Additional Vehicle 27. Ia selaras dengan nama projek sebelum ini untuk memperoleh 14 set tren model ini pada tahun 2017, yang kami selalu rujuk sebagai KLAV14," katanya semasa sidang media selepas membuat lawatan ke fasiliti Hartasuma di sini, pada Khamis.

Hartasuma ialah syarikat tempatan yang bertanggungjawab membekalkan 27 set tren kepada Prasarana.

LRT Laluan Kelana Jaya sekarang merangkumi tren empat gerabak Bombardier 818 series (35 set), tren dua gerabak Bombardier 414 series (20 set), tren cantuman, dua set dalam perkhidmatan dan tiga set dalam peringkat pemasangan dan pengujian akhir selain tren empat gerabak KLAV (14 set).

Dalam pada itu kata Tajuddin, sebanyak RM1.7 billion dibelanjakan untuk menambah dan menyelesaikan proses pemasangan kesemua tren terbabit.

Ujarnya, penambahan itu merupakan usaha tambah baik untuk keselesaaan pelanggan.

"Proses pemasangan akan dibangunkan di Hartasuma dan usaha mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar sekali gus mengurangkan aliran keluar mata wang negara.

"Ia akan membangunkan teknologi serta ekonomi tempatan dan meningkatkan daya saing negara dalam pasaran global," ujarnya.