Majlis sambutan ulang tahun keputeraan ke-76 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang dijadualkan 17 Julai ini ditunda kepada 12 Oktober.

Sehubungan itu, istiadat perbarisan kawalan kehormatan dan penganugerahan darjah kebesaran dan pingat negeri serta majlis santapan negeri akan turut ditunda ke tarikh tersebut.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dalam satu kenyataan hari ini, tanpa menyatakan sebab ia ditunda.

Bagaimanapun, katanya, 17 Julai ini kekal sebagai hari kelepasan am (cuti umum) sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis.

Menurut kenyataan itu juga, acara sampingan yang telah dijadualkan iaitu Wacana Wangsa Jamalullail pada 16 Julai, perasmian Masjid Al-Maghfirah (19 Julai) dan jamuan teh (20 Julai), akan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.