Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi jaminan bahawa penangguhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tidak akan menjejaskan kedudukan operator-operator kem serta jurulatihnya.

"Saya beri jaminan kepada 'stakeholders' PLKN bahawa penangguhan tahun ini tidak akan menjejaskan operator-operator kem, jurulatih dan mereka yang mempunyai jawatan tetap," kata beliau menerusi akaun Twitternya hari ini.

Kata Hishammuddin, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.



Selain itu, katanya satu perbincangan telah ditetapkan bulan hadapan yang akan melibatkan pihak berkepentingan termasuk operator kem, ibu bapa, jurulatih, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi kewangan bagi tujuan melaksakan transformasi PLKN.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan penangguhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) tahun 2015 dengan penjimatan RM400 juta, bagi membolehkan program itu dikaji semula dan ditambah baik.


Dalam satu perutusan khas mengenai perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan ekonomi negara, Najib berkata ia merupakan salah satu langkah untuk merasionalisasi perbelanjaan negara.

PLKN merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan bagi remaja yang terpilih setelah menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas.

Ia bertujuan bagi pembinaan sahsiah diri serta mengukuhkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, dan memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional selain membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.