Pelaksanaan semasa di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada, kata Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli.

"Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat berhubung penghakiman Mahkamah Rayuan yang memutuskan mana-mana kanak-kanak yang dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

Menurutnya, JPN melalui Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap keputusan kes tersebut yang memihak kepada pemohon ke Mahkamah Persekutuan.

Mohd Yazid berkata Mahkamah Tinggi sebelum ini telah membuat keputusan bahawa di bawah undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan untuk kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak telah dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

"Oleh itu, tindakan yang dilakukan JPN adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan," katanya.

BACA: Asyraf Wajdi jawab isu penamaan anak luar nikah

Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya pada Khamis membenarkan rayuan yang dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa Ketua Pengarah JPN menggantikan nama anak mereka yang berbin atau berbinti 'Abdullah' dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang merupakan seorang daripada tiga hakim yang bersidang, berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa atau fatwa agama yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama bapa anak luar nikah orang Islam.

Beliau berkata bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan tertakluk kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak itu memenuhi syarat-syarat mengikut Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA), yang merangkumi semua kanak-kanak tidak sah taraf orang Islam dan bukan Islam.

Abdul Rahman berpendapat fatwa tidak mempunyai kuasa undang-undang dan tidak dapat membentuk asas perundangan bagi Ketua Pengarah JPN memutuskan tentang nama bapa anak luar nikah mengikut Seksyen 13A (2) BDRA.

-- BERNAMA