Keluarga Rosmin Selamat, 62, yang dikhuatiri lemas dalam insiden bot karam tiba di sini dari Manjong, Perak untuk mengetahui maklumat lanjut berhubung kejadian itu.

Isteri, anak lelakinya dan beberapa anggota keluarga tiba di Pantai Utama yang terletak di belakang bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira 5.40 petang selepas dimaklumkan pihak berkuasa tengah hari tadi.

Mereka kemudiannya diberi maklumat oleh Komander Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Azman Samsudin.

Anaknya Samsul turut kelihatan berdoa di tepi pantai demi keselamatan bapanya.

Selepas operasi mencari dan menyelamat dihentikan kira-kira 7 malam ini buat hari ini, keluarga tersebut meninggalkan perkarangan bangunan SPRM.

Rosmin hilang dalam kejadian 7 malam tadi itu apabila bot berkenaan yang membawa tujuh orang termasuk dirinya untuk melakukan survei bagi projek menebus guna tanah terbalik akibat dipukul ombak kuat.

Enam daripada mereka yang terdiri daripada empat warga Indonesia dari Acheh serta dua rakyat tempatan diselamatkan pihak bomba dan penyelamat serta nelayan.

Terdalu ketika memberitahu pemberita, Azman berkata empat buah bot milik APMM, polis marin, pertahanan awam dan bomba digerakkan untuk usaha mencari meliputi kawasan seluas 10 batu nautika termasuk di perairan Seberang Perai Utara dan Selatan.

"Laut adalah tenang dan kami percaya dapat mencari mangsa dalam tempoh 24 jam. Masih ada harapan mencarinya," katanya.

Azman berkata bot terbabit merupakan bot fiber yang boleh menampung sehingga enam orang yang disewa oleh sebuah syarikat yang menjalankan survei tersebut.

"Bot itu melebihi had muatan dan siasatan awal mendapati hanya seorang penumpang yang memakai jaket keselamatan," katanya.

Usaha mencari dan menyelamat yang bermula 7.30 pagi tadi hingga 7 malam ini akan diteruskan pukul 7.30 pagi esok.